KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) memberi jaminan terhadap keselamatan pemain skuad bawah 16 (B-16) tahun negara, Amirul Ashrafiq Hanifah di Surabaya, Indonesia.
Amirul berdepan pelbagai ugutan dan provokasi di media sosial yang didakwa dilancarkan penyokong Indonesia selepas kesilapannya memuat naik bendera negara itu yang terbalik di Instagram Story (instastory) miliknya ketika skuad B-16 berlepas ke Surabaya, Jumaat lalu bagi menyertai Kejohanan B-16 AFF 2018.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dalam kenyataan malam tadi mengesahkan badan induk itu sudah menghubungi AFF dan PSSI bagi memastikan keselamatan Amirul dan pasukan B-16 negara terjamin sepanjang kejohanan itu.
"Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sudah membuat tindakan segera dengan menghubungi Naib Presiden PSSI, Joko Driyono dan Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria serta Setiausaha Agung AFF, Datuk Seri Azzuddin Ahmad selaku penganjur kejohanan.
"Mereka bertiga berjanji tuan rumah dan penganjur akan memastikan tahap keselamatan Amirul, pemain serta pegawai pasukan Malaysia terjamin sepenuhnya sepanjang berada di Surabaya bagi Kejohanan B-16 AFF 2018.
"AFF dan PSSI turut memaklumkan kepada Datuk Hamidin pasukan Malaysia tidak perlu terlalu risau biarpun terdapat ugutan yang dilakukan pihak tertentu terhadap pemain berhubung isu ini kerana tahap keselamatan sudah dipertingkatkan.
"Saya yakin dengan kewibawaan AFF dan PSSI untuk mengotakan janji mereka serta komitmen tinggi mereka untuk memastikan tahap keselamatan pemain dan pegawai pasukan Malaysia, sekali gus membolehkan pasukan memberi fokus dalam menghadapi setiap perlawanan di sana," kata Stuart.
Amirul mengakui kesilapannya meletakkan bendera Poland dan bukannya Indonesia dalam instastory sebelum berlepas ke Surabaya.
Namun, kesilapan Amirul itu disalah tafsir apabila dia dituduh menghina Indonesia menerusi laporan media negara jiran dan tersebar secara meluas di media sosial.
Malah, Amirul menerusi Instagram miliknya semalam sudah membuat permohonan maaf secara terbuka dan berharap isu itu tidak diperbesarkan.
"Saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan saya memuat naik bendera yang salah dalam instastory saya tempoh hari.
"Saya tiada niat langsung untuk melakukan sebarang provokasi, ia semata-mata kesilapan saya tersalah letak bendera Poland bukannya bendera Indonesia seperti yang sepatutnya," katanya.
Skuad B-16 kendalian Raja Azlan Shah Raja So'ib akan memulakan kempen Kumpulan B bertemu Thailand, hari ini diikuti Brunei (3 Ogos), Singapura (5 Ogos) dan Laos (7 Ogos) dengan semua aksi di Stadium Joko Samudro.