LOS ANGELES: Gareth Bale membuktikan dia bersedia mengisi kekosongan ditinggalkan Cristiano Ronaldo apabila meledak dan menjadi perancang kepada kedua-dua gol ketika Real Madrid melengkapkan kempen pramusim dengan kemenangan 2-1 ke atas AS Roma, hari ini.
Selain Bale, satu lagi gol Real pada aksi yang berlangsung di Stadium MetLife itu dijaringkan oleh pemain tengah Marco Asensio pada babak pertama perlawanan.
Juara Eropah itu berharap Bale bersedia untuk menampung tugas yang ditinggalkan Ronaldo sejak tiba di Sepanyol pada 2013.
Ronaldo, 33, mengucapkan selamat tinggal kepada Real dengan menyertai juara Itali, Juventus musim panas ini.
"Kami menjaringkan gol dan kami memenangi perlawanan, jadi prestasi kami baik," kata Bale. "Kami perlu terus meningkat dan kami bersedia dan teruja untuk memulakan musim baharu."
Real membuka tirai jaringan menerusi Asensio seawal minit kedua berpunca daripada hantaran Bale sebelum pemain Wales itu menggandakan kelebihan pada minit ke-15.
Gol Roma dijaringkan oleh Kevin Strootman pada minit ke-83. - AFP