MADRID: Bekas pemain tengah Barcelona, Xavi percaya bintang remaja, Riqui Puig bersedia memikul tanggungjawab bersama skuad senior selepas tampil dengan prestasi mengagumkan ketika jelajah pramusim.
Puig, 18, dikeluarkan daripada bangku simpanan untuk beraksi bagi tiga perlawanan persahabatan pramusim Barca dan dilabel ‘menakjubkan’ oleh jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso.
Jurulatih, Ernesto Valverde tampak bersedia untuk memberinya peluang, tetapi Barcelona jelas tidak ketandusan bakat di bahagian tengah menerusi dua pembelian baharu, Arthur dan Arturo Vidal yang dijangka mengisi kesebelasan utama.
Tetapi Xavi menggesa agar nama Puig tidak disisihkan daripada skuad utama.
“Saya berharap Ernesto dapat memberinya peluang kerana dia layak untuk mendapatkannya,” kata bekas pemenang empat trofi Liga Juara-Juara itu.
“Saya percaya dia sudah cukup bersedia untuk bermain dalam skuad utama Barca. Saya amat gembira kerana saya apabila melihatnya bermain, kita dapat melihat permainan yang lahir daripada akademi Barca secara sepenuhnya.
“Dia mempunyai DNA yang spesifik terhadap permainan kami yang sangat rumit dan hanya diperoleh daripada pemain tertentu saja.
“Dia dapat membaca permainan dengan pantas, dia tahu apa yang perlu dilakukan setiap masa dan juga bijak. Kebenarannya adalah, dia adalah pemain yang dilahirkan dengan bakat dan bermain dengan mudah.
“Dia memiliki keyakinan, personaliti, tidak bersembunyi dan sentiasa meminta bola. Saya amat gembira, tetapi seperti Valverde katakan, ia masih amat awal.”
Puig yang beraksi tiga kali bersama skuad B Barcelona musim lalu mengekalkan tempatnya dalam kem latihan Valverde menjelang pertembungan Piala Supercopa Sepanyol menentang Sevilla, Ahad ini. - Agensi