LONDON: Bekas pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand memberi amaran kepada pasukan itu supaya tidak melepaskan bintang Piala Dunia, Paul Pogba sebaliknya fokus untuk memperkuat pasukan terbabit.
Spekulasi membabitkan masa depan pemain itu timbul selepas Barcelona dikatakan berminat dengan khidmat pemain itu namun Ferdinand mahu Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward supaya dapat mengekalkan pemain berusia 25 tahun itu dalam pasukan mereka.
Ferdinand yang melakukan lebih 450 penampilan bersama pasukan itu mahu Pogba terus kekal dan pertahanan Spurs, Toby Alderweireld menyertai skuad The Red Devils.
Merujuk kepada laporan daripada ejen Pogba, Mino Raiola yang melihat Camp Nou sebagai lokasi baharu untuk pemainnya itu, Ferdinand menerusi Twitternya berkata ‘jangan anda biarkan ini berlaku ED. United adalah pasukan buat Pogba. Hentikan khabar angin ini secepat mungkin dan bawa masuk Toby Alderweireld.’
United memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini bertemu Leicester di laman sendiri, Jumaat ini.
Sebelum ini, Mourinho menyatakan kekecewaanya terhadap urusan perpindahan pasukan itu sehingga menimbulkan ketegangan antara hubungannya bersama Woodward.
Hanya tiga pemain baharu dibawa masuk menyertai pasukan itu setakat ini iaitu pemain tengah Brazil, Fred ; pertahanan muda, Diogo Dalot dan penjaga gol gantian, Lee Grant.
Pogba yang menjadi tonggak untuk membantu Perancis merangkul Piala Dunia di Russia, bulan lalu adalah bekas pemain muda pasukan itu namun berhijrah ke Juventus pada 2012 selepas jarang mendapat peluang beraksi.
Namun, Mourinho membawa kembali Pogba ke Old Trafford pada 2016 dengan nilai perpindahan 89 juta pound (RM470 juta) namun dia bergelut musim lalu selepas beberapa kali diketepikan dalam kesebelasan utama. - AFP