LONDON: Manchester City mensasarkan untuk meningkatkan prestasi pasukan berbanding mengatasi rekod kutipan mata keseluruhan di Liga Perdana Inggeris, kata pengendalinya, Pep Guardiola.
Juara bertahan itu muncul pasukan pertama yang meraih 100 mata dalam kempen Liga Perdana dan menamatkan musim lalu 19 mata di depan seteru utama, Manchester United.
“Ramai yang bertanya ‘bolehkan kamu memperbaiki 100 mata’ dan saya kata tidak kerana kami tidak berada di sini untuk melakukannya. Namun, secara individu pemain boleh mempamerkan peningkatan,” kata Guardiola.
“Sudah tentu kami boleh meningkat. Sekiranya saya berasa kami tidak mampu mempamerkan peningkatan pasukan, saya mungkin memanggil pengerusi dan berkata ‘Saya akan keluar’. Namun biarpun begitu, kami percaya pasukan boleh melakukan yang lebih baik dan lebih mendominasi.
“Adakah ia akan berlaku? Saya tidak tahu tetapi kami percaya pasukan mampu melakukannya.”
City bakal memulakan musim baharu dengan kunjungan ke Arsenal, Ahad ini dan pengendali dari Sepanyol, Guardiola mengatakan pasukannya mungkin berdepan cabaran lebih serius dari kelab itu musim ini di bawah pengurus baharu, Unai Emery.
“Saya fikir Arsenal akan menjadi lebih konsisten selaku sebuah pasukan,” kata pengurus kelahiran Sepanyol itu. “Ia akan menjadi sukar daripada biasa.
“Ia bagus kerana setiap musim Liga Perdana akan menjadi semakin sukar. Unai adalah seorang yang beretika. Dia tahu segala-galanya mengenai lawan.
“Dia mencapai sesuatu yang unik dalam bola sepak Eropah dalam tiga Liga Europa secara berturut-turut dan dia mengendali dirinya dengan baik di PSG. Dia seorang pengurus ternama dan ia menjadi sukar.” - Reuters